Isnin, 20 April 2009

APLIKASI CD-ROM DALAM KELAS KEMAHIRAN AL-QURAN

ARUS MULTIMEDIA DALAM PENDIDIKAN : APLIKASI CD-ROM DALAM KELAS KEMAHIRAN AL-QURAN (KKQ).

_______________________________________________________________________________________

Amisah Durman

Sahrizan Zakaria

Suzanah Hasim

Email : ampaiampai@Gmail.com

Abstract

Nowadays, using of teaching material aids by computer in process of teaching and learning have expanded at all institutes in Malaysia. Teaching and learning process of Islamic education also can’t escaped from this scenario. Using computer as a teaching material in Islamic education can be described in various aspects. However, in this article, we just explain about one of the aspect, it is using courseware especially in subject of learning “tarannum”. Generally, refer to the fact that using of courseware like CD-ROM was able to make teaching and learning process works more effectively so that by the same way, using CD-ROM in subject “tarannum” also can perform the same benefit. But the question in this issue is how using of that courseware or CD-ROM is able to make the teaching and learning ‘tarannum” process become easier and can it be as one of the best teaching material aids than the other teaching metarial? So to answer the question, we also provide the reasons and our explaination in this article based on our study of that issue. Finally, we also clarifiy about the challenges that the teachers will face in future in the new era of technology , besides we give our view about the importance of expertise the computer skills to all religious teachers.


Pengenalan

Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan multimedia masa kini semakin tersebar luas dan mendapat tempat di serata dunia, dan tidak terkecualilah juga di negara kita. Penggunaannya telah membawa harapan yang tinggi bahawa teknologi dapat digunakan dengan meluas khususnya di dalam bilik darjah. Banyak kekuatan dan faedah yang boleh didapati daripadanya menyebabkan ianya mendapat pengiktirafan daripada ramai pendidik. Multimedia ini adalah gabungan dua perkataan iaitu multi dan media yang boleh didefinisikan sebagai pelbagai media (Abdul Ghani Shamsuddin, 1997, hlm.146). Antara peranan multimedia ini menurut Giam Kah Low (1999) dapat dilihat dari kajian psikologi kognitif yang menunjukkan seseorang pelajar akan ingat 10% apa yang dibaca, 20% daripada apa yang didengar, 30% daripada apa yang dilihat, 50% daripada apa yang dilihat dan didengar, 70% daripada apa yang di suarakan sendiri, dan 90% daripada apa yang dilakukan sendiri (hlm.59). Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa pembelajaran yang berkesan boleh dicapai sekiranya semua pancaindera pelajar terlibat secara aktif dalam pembelajaran. Selain itu, multimedia juga berperanan sebagai perangsang motivasi pelajar. Contohnya seperti melalui penggunaan program hipermedia. Program yang dikendalikan ini mampu menarik perhatian orang ramai. Dan menurut Rozinah Jamaluddin (2005), ciri-ciri hipermedia mempunyai keupayaan yang tinggi dalam menggalakkan pelajar menjadi seorang yang proaktif (hlm. 45). Dan peranan lain multimedia ini ialah ianya alat yang mempunyai sifat keanjalan, dan maksud keanjalan ini boleh digambarkan melalui situasi ini iaitu : ada di kalangan yang pelajar tidak pandai dalam ekspresi penulisan, tetapi dia mempunyai ciri-ciri visual yang boleh mendokumentasikan benda dengan sesuatu bunyi atau gambar. Maka dapat didefinisikan bahawa keanjalan multimedia ini adalah berkaitan dengan fungsi penggunaannya yang boleh diadaptasikan sesuai dengan kebolehan dan kemampuan pelajar.


Perkembangan multimedia dalam pendidikan

Perkembangan pesat era teknologi maklumat dan komunikasi dalam dekad ini berlaku dengan begitu pantas sekali di seluruh pelosok dunia seiring dengan perkembangan keperluan hidup manusia yang sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Zaman ini, kehidupan manusia yang semakin kompleks menjadi salah satu faktor penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi ini semakin meluas dan salah satu faedah dari perkembangan teknologi ini ialah multimedia.

Sejajar dengan perkembangan pesat ini, negara kita juga turut menerima tempiasnya. Dan buktinya ialah langkah kerajaan menubuhkan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 27 Ogos 1995 yang telah diumumkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad (Baharuddin Aris et al., 2003, hlm. 1). Sehubungan dengan penubuhan MSC ini, aspek yang turut diambil perhatian adalah pendidikan. Ini kerana antara dasar kerajaan yang ada dicadangkan dalam MSC ini ialah penubuhan sekolah bestari. Pada masa ini, kerajaan sedang berusaha giat untuk memperkasakan penubuhan sekolah bestari seperti yang telah dicadangkan. Dan antara dasar penubuhan sekolah bestari ini ialah menubuhkan sekolah yang dilengkapi dengan perkakasan IT dan multimedia.

Namun begitu, seringkali terdapat persepsi yang salah mengenai konsep sebenar sekolah bestari ini. Ramai yang menyangka bahawa sekolah bestari adalah sebuah sekolah yang keseluruhannya berkomputer. Namun, konsep sekolah bestari yang sebenarnya bukanlah mengenai teknologi semata-mata. Penggunaan multimedia adalah merupakan salah satu komponen sahaja (Baharuddin Aris et al., 2003, hlm. 7). Sekolah bestari juga bukanlah sekolah yang dikhaskan untuk pelajar pintar atau sekolah di bandar besar, tetapi penubuhannya adalah meliputi semua peringkat pelajar sama ada yang berada di bandar atau diceruk tempat terpencil sekalipun. Dalam perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia, semua sekolah di seluruh negara akan menjadi sekolah bestari, 85 buah sekolah bestari dijangka siap dibina dalam tahun 1999 dan pada tahun 2010, projek sekolah bestari ini akan dikembangkan ke semua sekolah rendah dan sekolah menengah (Baharuddin et al., 2003, hlm. 13).

Rancangan kerajaan mengenai penubuhan sekolah bestari ini secara tidak langsung pasti akan mempengaruhi kurikulum yang sedia ada di sekolah. Mohd Hang Tuah Ismail (2005) menyatakan bahawa pembaharuan dan semakan semula kurikulum Pendidikan Islam juga telah disyorkan oleh Jemaah Menteri dengan mengambil kira penekanan terhadap kandungan teks dan kaedah pelaksanaan kurikulum yang lebih berkesan untuk dilaksanakan di sekolah (hlm. 47). Akhirnya melalui kurikulum baru Pendidikan Islam yang telah dikaji semula, pelbagai unsur penggunaan ICT telah diselitkan di dalam buku teks Pendidikan Islam demi menggalakkan para guru Pendidikan Islam mahir menggunakan multimedia. Oleh yang demikian, kami berpendapat kurikulum kelas kemahiran Al-Quran (KKQ) di semua SMKA seluruh negara dan kelas aliran agama (KAA) juga turut menerima perubahan selaras dengan semakan semula kurikulum Pendidikan Islam teras dan elektif.


Aplikasi CD-ROM dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Kelas Kemahiran Al-Quran (KKQ)

Perkembangan multimedia yang begitu pesat dalam pendidikan telah membawa kepada impak perubahan yang besar kepada proses P&P yang berlaku di sekolah, dan hal ini secara tidak langsung telah mencabar dan mendorong para guru untuk turut serta dalam perkembangan yang berlaku khususnya guru yang mengajar kelas kemahiran Al-Quran (KKQ). Memahirkan diri dalam kemahiran teknologi ini tidak akan merugikan guru. Hal ini turut disokong oleh International Society for Technology in Education (ISTE) yang menyarankan guru untuk menguasai dan menggunakan multimedia dalam pengajaran (Baharuddin Aris et.al., 2003, hlm. 24). Ini kerana antara kelebihan jika mahir dalam bidang IT ini ialah dapat menghasilkan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang lebih berkesan.

Dan salah satu BBM berbantukan komputer yang berkesan ialah dengan menggunakan program perisian kursus computer (courseware) seperti CD-ROM. Walaupun penggunaan CD-ROM ini masih lagi belum meluas dalam kalangan guru KKQ, namun terdapat segilintir pihak yang mula menyedari tentang kepentingan penggunaan CD-ROM ini dalam P&P kelas kemahiran Al-Quran. Ini kerana, pengeluaran CD-ROM untuk belajar Al-Quran telah mula diperkenalkan di pasaran akhir-akhir ini. Penggunaan CD-ROM dalam P&P kelas kemahiran Al-Quran ini sangat penting kerana ianya dapat memudahkan proses pengajaran Al-Quran khususnya dalam bidang hafazan, tarannum dan Qiraat. Namun persoalannya ialah bagaimanakah penggunaan CD-ROM ini dapat memudahkan proses P&P kelas kemahiran Al-Quran dalam bidang tarannum ?

Untuk mempelajari bidang-bidang Al-Quran seperti hafazan, tarannum dan Qiraat secara berkesan, kaedah pengajaran yang paling sesuai untuk digunakan oleh guru ialah kaedah talaqqi dan musyafahah. Dalam kaedah ini, guru akan berhadapan secara langsung dengan pelajar untuk mendengar dan membetulkan bacaan pelajar. Namun disebabkan kekangan peruntukan masa yang terhad untuk kelas kemahiran Al-Quran atau kelas aliran agama di sekolah iaitu sebanyak 3 jam dalam seminggu, maka guru tidak mungkin berkesempatan untuk bertalaqqi dengan setiap pelajar hanya dalam masa 3 jam (http://www.zainul.com/kkq/panduan.htm). Oleh itu kami berpendapat penghasilan CD-ROM dalam bidang tarannum sedikit sebanyak dapat membantu guru dan pelajar. Berdasarkan pembacaan dari bahan rujukan yang kami peroleh, kami berpendapat antara aspek-aspek yang menyebabkan penggunaan CD-ROM ini yang dapat memudahkan guru dan pelajar dalam kelas kemahiran Al-Quran ialah mudah dibawa, mudah dipelajari, mudah dimiliki dan pembelajaran kendiri.

Aspek pertama yang akan kami huraikan ialah berkenaan saiz CD-ROM. Saiz CD-ROM yang kecil menyebabkan ianya mudah untuk dibawa guru dan pelajar ke mana-mana. Di samping itu, cara untuk menggunakan CD-ROM ini juga mudah untuk dipelajari. Guru atau pelajar hanya perlu memasang CD-ROM ke pemacu cakera padat pada komputer dan mengklik ikon yang berkaitan untuk membolehkan CD-ROM beroperasi seperti sistem audio yang lengkap. Kecanggihan fungsi komputer juga membolehkan pelajar memasang CD-ROM berulang-ulang kali sehingga pelajar dapat menguasai lagu tarannum. Selain itu, aspek lain yang menjadi faktor CD-ROM popular digunakan sebagai BBM ialah kerana harganya yang murah. Pada penghujung tahun 1996, pengeluaran program multimedia dalam bentuk cakera padat iaitu CD-ROM telah meningkat sehingga lebih daripada 15 ribu unit. Peningkatan pengeluaran CD-ROM ini secara tidak langsung juga menjadi faktor penjualan harga CD-ROM menurun dari berharga kira-kira RM250.00 pada tahun 1992 kepada kira-kira RM50.00 pada tahun 1999 (Baharuddin Aris et. al., 2003, hlm. 89). Harga yang berpatutan ini menyebabkan CD-ROM mudah dimiliki guru dan pelajar. Untuk mempelajari bidang Al-Quran seperti tarannum dengan berkesan, pelajar seharusnya perlu mempraktis lagu tarannum yang diajar secara konsisten dan sudah pasti mempraktis lagu tarannum tersebut menuntut pelajar untuk meluangkan masa yang lebih lama dari masa pengajaran yang diperuntukan kementerian. Namun disebabkan masa pengajaran yang terhad, pembelajaran yang berkesan tidak mungkin berlaku dalam kalangan pelajar. Oleh yang demikian, salah satu jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini ialah melalui pembelajaran menggunakan CD-ROM. Ini kerana melalui penggunaan CD-ROM, pelajar dapat belajar secara kendiri. Menurut Baharuddin Aris et al., (2003), program pembelajaran kendiri ini tidak memerlukan seseorang pelajar itu untuk berada bersama-sama guru di lokasi dan masa yang ditetapkan. Melalui CD-ROM pelajar boleh melatih cara bacaanya sendiri walaupun guru tidak ada bersama-sama pada masa itu (hlm. 157). Walaubagaimanapun satu perkara yang perlu diambil perhatian dalam penggunaan CD-ROM sebagai BBM ialah guru perlu mengaplikasikan CD-ROM tersebut di dalam kelas dan CD-ROM yang digunakan ini hanyalah sebagai panduan dan bimbingan tambahan kepada pelajar. Selain daripada aspek-aspek yang telah disebutkan, faktor lain mengapa penggunaan CD-ROM dapat membantu P&P bidang tarannum berlaku dengan lebih berkesan ialah kerana persembahan perisian dalam CD-ROM yang baru dan menarik berbanding BBM tradisional yang lain. CD-ROM ini dikatakan menarik kerana ciri-ciri yang terdapat pada CD-ROM seperti audio, teks, grafik, animasi dan imej. Menurut Ee Ah Meng dalam Literasi Komputer, media yang dapat meningkatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran adalah dilihat dari aspek daya penarik bahan yang dapat mengelakkan kebosanan pelajar (hlm. 52). Selain itu, bahan multimedia seperti CD-ROM ini membawa ciri penting khusus dalam konteks pendidikan iaitu interaktif ( Sohaimi Abdul Aziz, 1997, hlm. 53). Media yang baik ialah media yang dapat melibatkan penglibatan pelajar secara maksimum.


Kesimpulan

Membicarakan mengenai penggunaan CD-ROM sebagai Bahan Bantu Mengajar yang memudahkan P&P kelas kemahiran Al-Quran, satu klasifikasi yang dapat kami simpulkan ialah ianya merupakan satu usaha yang baru dan dinamik oleh guru Pendidikan Islam di negara kita dalam memartabatkan inisiatif penubuhan sekolah bestari yang dicadangkan kerajaan. Namun usaha penggunaan teknologi ini sebagai pengupaya (enabler) yang mempunyai kelebihan berbanding dengan kaedah sedia ada (tradisional) adalah bergantung kepada sejauh mana perisian kursus (courseware) yang ada di pasaran pada masa kini berkualiti dan sesuai dengan silibus kurikulum di sekolah. Selain itu, pengeluaran CD-ROM yang boleh diaplikasikan dalam P&P kelas kemahiran Al-Quran bagi bidang tarannum di pasaran juga hanya sedikit sahaja dan terhad. Maka antara cabaran yang harus digalas oleh guru pendidikan Islam yang mengajar kelas kemahiran Al-Quran ialah menghasilkan lebih banyak perisian kursus (courseware) yang bersesuaian dengan kurikulum sedia ada sebagai BBM bidang tarannum dan bidang-bidang Al-Quran yang lain seperti tajwid, Qiraat dan hafazan. Selain itu, kemajuan teknologi yang meresap masuk secara perlahan-lahan ke dalam kurikulum sekolah juga bakal merubah persepsi para guru Pendidikan Islam pada masa akan datang mengenai peranan multimedia. Dalam era teknologi kelak, aplikasi multimedia akan semakin meluas sama ada dalam pentadbiran, pengurusan dan pengajaran di sekolah. Oleh yang demikian, kami berpendapat hal ini sedikit sebanyak akan mengelirukan guru Pendidikan Islam mengenai peranan mereka yang lebih penting berbanding multimedia, sekaligus menurunkan motivasi mereka untuk meningkatkan prestasi dalam pekerjaan. Walaupun pada masa akan datang peranan multimedia akan membawa impak yang besar dalam pendidikan, namun guru Pendidikan Islam sepatutnya tidak leka dengan peranannya dalam membangunkan bangsa manusia. Peranan multimedia hanyalah sebagai alat yang menyimpan dan membawa maklumat sahaja. Multimedia tidak mempunyai emosi seperti manusia, oleh itu multimedia tidak akan mampu membina sahsiah dan jati diri pelajar. Dan sejajar dengan perkembangan era teknologi maklumat masa kini, kami menyarankan wajarlah setiap guru termasuk guru Pendidikan Islam membina kecekapan menggunakan teknologi maklumat kerana kelebihan yang ada pada teknologi maklumat sebagai pemudah dan pemangkin proses P&P di sekolah.



RUJUKAN

Abdul Ghani Samsuddin & Norhashimi Saad. (1997). Sekolah Bestari dari Perspektif Islam dan Perisian Multimedia dalam Pengajaran Pendidikan Islam. Prosiding Seminar Kebangsaan Teknologi Maklumat (hlm. 141-158). Selangor: Maktab Perguruan Islam.

Ahmad Rafizi Salleh. (1997). Penggunaan Teknologi Maklumat Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab. Prosiding Seminar Kebangsaan Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Islam (hlm. 65-78). Selangor: Maktab Perguruan Slam.

Ambugapthy, P. (1999). Literasi dalam Pendidikan : Perubahan dan Cabaran. Kuala Lumpur: Pusat Pembangunan dan Pendidikan Komuniti.

Baharuddin, A. (2003). Sains Komputer Teknik dan Teknologi. Selangor: Venton Publishing Sdn Bhd.

Giam Kah, L. (1999). Gaya Pembelajaran dan Penggunaan Multimedia dalam Pengajaran dan pembelajaran. Jurnal Pendidikan TIGAENF , 57-63.

Hatim Mohd Tahir, et al. (1994). Literasi Komputer. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn Bhd.

Rozinah Jamaluddin. (2005). Multimedia dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

Jamaludin Harun, et al. (2001). Pembangunan Perisian Multimedia Satu Pendekatan Sistematik. Selangor: Venton Publishing Sdn Bhd.

Mohd Hang Tuah Ismail. (2005). Penggunaan Kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran Berdasarkan Komputer Di Kalangan Guru-Guru Pendidikan Islam. Fakulti Pendidikan : Universiti Malaya.

Salleh Hasan. (1997). Pendidikan Guru Bestari : Cabaran Dan Pengisian. Prosiding Seminar Kebangsaan Teknologi Maklumat dalam Pendiidkan Islam (hlm. xvii-xxvii). Selangor: Maktab Perguruan Islam.

Sohaimi Abdul Aziz. (1997). Sastera Kanak-kanak Islam : Cabaran Dan Masa Depan Dalam Era Multimedia Digital. Prosiding Seminar Kebangsaan Teknologi Maklumat Pendidikan Islam (hlm. 47-57). Selangor: Maktab Perguruan Islam.

Tajul Nordin, A. (1993). Penggunaan Teknologi Canggih dalam Pendidikan Islam Pada Abad ke-12. Seminar Islam Dan Cabaran Abad Ke-21 (hlm. 1-10). Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.

___________. ( t.t ). Panduan Pelaksanaan KKQ Di Sekolah. Dimuat turun pada Mac 20, 2009, daripada http://www.zainul.com/kkq/panduan.htm.

1 comments:

darul berkata...

Salam.Artikel ini amat baik untuk guru-guru yang ingin membina jenerasi al-quran dan menpercepatkan proses bagi membina jenerasi al-quran yang lebih praktikal.Dan peranan multimedia hanyalah sebagai alat yang menyimpan dan membawa maklumat sahaja. Multimedia tidak mempunyai emosi seperti manusia, oleh itu multimedia tidak akan mampu membina sahsiah dan jati diri pelajar. Dan sejajar dengan perkembangan era teknologi maklumat masa kini,saya menyarankan wajarlah setiap guru termasuk guru Pendidikan Islam membina kecekapan menggunakan teknologi maklumat kerana kelebihan yang ada pada teknologi maklumat sebagai pemudah dan pemangkin proses P&P di sekolah.

Catat Ulasan

 

GEMA IMPIAN © 2008. Design By: SkinCorner